Friday, August 1, 2008

R.E.F.O.R.M.A.S.I 1998-2008- PART 2

Selain mengubah Umno dan BN, gerakan reformasi juga memberikan impak yang besar terhadap dua parti tua pembangkang iaitu PAS dan DAP.

Pada 1999, Parti Keadilan Nasional (sekarang PKR setelah bergabung dengan PRM), PAS, DAP dan PRM telah membentuk satu pakatan yang digelar Barisan Alternatif (BA).
BA memberikan saingan yang hebat kepada BN dalam pilihanraya umum ke-10. Penyatuan parti pembangkang bawah BA telah menyebabkan pertarungan satu lawan satu di antara dua parti (BN dan BA) di kebanyakan kawasan.


Sentimen anti-Mahathir yang begitu kuat telah menyebabkan undi orang-orang Melayu beralih kepada BA. Bagaimanapun majoriti undi bukan Melayu masih lagi memihak kepada BN.
Pilihanraya 1999 menguntungkan PAS apabila Terengganu jatuh bawah penguasaannya, Kelantan kekal dan mendapat 27 kerusi parlimen berbanding dengan hanya tujuh kerusi parlimen yang diperolehinya pada 1995.DAP bernasib malang dalam pilihanraya tersebut apabila Lim Kit Siang dan Karpal Singh, dua jaguh DAP, gagal kembali ke parlimen.
Akan tetapi DAP mendapat lebihan satu kerusi, menjadikan jumlahnya 10 berbanding dengan sembilan kerusi yang diperolehinya pada pilihanraya umum sebelumnya.
Parti Keadilan Nasional, yang masih setahun jagung dan mentah, berjaya mendapat lima kerusi parlimen dan empat kerusi negeri.

Kejayaan gerakan reformasi dalam pilihanraya umum 1999 memberikan tamparan hebat kepada Mahathir selaku perdana menteri. Beliau diserang hebat dari dalam dan luar Umno.
Sebagai reaksi spontan kepada trend pengundi Melayu yang memihak kepada pembangkang, kerajaan Mahathir menyerang beberapa media cetak berbahasa Melayu yang bebas dan kritikal.
Tindakannya itu kerana semenjak permulaan gerakan Reformasi, Harakah, Eksklusif, Detik dan akhbar-akhbar tidak berkala menjadi sumber maklumat alternatif kepada orang-orang Melayu.
Akhbar mingguan independen Eksklusif dan majalah Detik ditutup, manakala Harakah telah dihadkan pengeluarannya dari dua kali seminggu kepada dua kali sebulan (sehinggalah saat ini).
Pakatan BA yang menjadi pencabar kuat kepada BN dalam pilihanraya 1999 tidak dapat bertahan lama, malangnya.

DAP sudah mula merasakan bahawa kekalahan Karpal, Kit Siang dan beberapa kawasan potensi adalah kerana penggabungannya dengan PAS dalam BA.
DAP akhirnya meninggalkan BA pada 21 September 2001, 10 hari selepas berlakunya tragedi 11 September di Amerika Syarikat.

Menurut Kerk Kim Hock dalam satu temubual selepas DAP keluar daripada gabungan pembangkang, penyokong-penyokong tradisi DAP tidak akan menyokong lagi parti itu jika DAP bekerjasama dengan PAS.

Dalam keadaan BN mengeksploitasikan isu negara Islam yang dibawa oleh PAS, ramai pengundi tradisi DAP tidak menyokong parti tersebut pada pilihanraya 1999.
PAS yang menjadi semakin kuat apabila berjaya menguasai Terengganu dan mempertahankan Kelantan sedikit demi sedikit menjadi angkuh dan melupakan agenda Reformasi.
PAS pada ketika itu terlupa atau "buat-buat lupa" bahawa kejayaan mereka merampas Terengganu atas dorongan rakyat mahukan Reformasi ditambah dengan sentimen kebenciaan rakyat kepada Mahathir yang sangat kuat.

Rakyat yang mengundi PAS juga mahukan skandal dan salah urus selama 25 tahun pentadbiran bekas MB Wan Mokhtar Wan Ahmad dibongkar dan dibawa kemuka pengadilan.
Akan tetapi pemerintahan PAS Terengganu tidak mengutamakan agenda Reformasi dan memerangi rasuah. Pada 12 November 2003, PAS melancarkan Dokumen Negara Islam.
Pelancaran dokumen ini telah menyebabkan DAP menjauhkan lagi daripada PAS dan pengundi-pengundi bukan Melayu menjadi takut. PAS sudah tersilap baca. Kesilapan ini akhirnya membawa padah kepada parti Islam terbesar tersebut.

Perang "anti terorisme" yang dibawa oleh George W Bush, pemegang mahzab politik "neocon" disambut oleh kerajaan BN. Usaha menakut-nakutkan pengundi bukan Melayu dilakukan secara terancang.
Mahathir menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menahan Kumpulan "Mujahidin" Malaysia yang kemudian tidak semena-mena ditukar namanya oleh polis kepada Kumpulan "Militan" Malaysia (KMM) pada pertengahan 2001 sebelum berlakunya tragedi 11 September.

Penggunaan ISA besar-besaran dimulakan dengan penahanan 10 aktivis Reformasi pada April dan dua pemimpin mahasiswa dua bulan kemudian 2001. BN juga mula melarang sebarang ceramah politik.
Pada Ogos 2001, “perang anti terorisme” telah dimulakan di Malaysia apabila kerajaan Mahathir menahan 10 orang anggota KMM, termasuk anak Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Apabila berlaku peristiwa 11 September, tindakan Mahathir menggunakan ISA menjadi “halal”. Kerajaan Mahathir berbangga apabila Amerika Syarikat juga mahu memperkenalkan “Patriot Act” yang mirip kepada ISA.

Yang menjadi tanda tanya dalam fikiran saya sehingga ini: Apakah penahanan KMM pada Ogos 2001 hanyalah satu kebetulan? Atau, pihak perisikan Malaysia sudah mengetahui tentang tragedi 11 September yang bakal berlaku di Amerika Syarikat?
Begitu eratkah hubungan perisikan Malaysia dengan CIA?
Rapuhnya pakatan BA telah memberikan kekuatan kepada BN menjelang pilihanraya umum 2004. Apabila Abdullah Ahmad Badawi naik sebagai PM, harapan baru diberikan dan mandat yang besar diperolehi oleh BN dalam pilihanraya tahun itu.
Terengganu berjaya dirampas kembali oleh BN - jika pada 1999, PAS menguasai 28 kerusi, kali ini PAS hilang pula 28 kerusi negeri. Kelantan walaupun masih dipegang oleh PAS, pentadbirannya sentiasa goyang akibat majoriti yang kecil.
Abdullah yang dibantu oleh "pemikir tingkat empat" mencedok konsep "Masyarakat Sivil" (civil society) daripada gerakan Reformasi dengan mengantikan namanya kepada "Masyarakat Hadhari".
Tetapi beliau gagal membawa Reformasi kepada negara - janji-janjinya tidak ditunaikan. Perang rasuah yang ingin dibawanya hanyalah cakap-cakap kosong.
Saki-baki orang-orang Mahathir dalam pemerintahannya tidak dibersihkan sehingga "memakan" dirinya kembali. Mahathir seperti yang dikatakan oleh Musa Hitam baru-baru ini adalah "duri dalam daging" pemerintahan Abdullah.
Ketika Abdullah lemah akibat serangan Mahathir dan konco-konconya yang bertalu-talu, Anwar Ibrahim memainkan peranan untuk memperkuatkan pakatan pembangkang.
Anwar muncul "pendamai" konflik ideologi senyap PAS-DAP. Akhirnya Anwar berjaya mendorong PAS dan DAP duduk semeja. Kedua-dua parti tersebut bersetuju Anwar sebagai calon perdana menteri mereka.

Akibatnya PAS memperkenalkan garis Negara Berkebajikan (welfare state) dalam manifesto pilihanrayanya yang lalu dan menggugurkan agenda negara Islam.
PAS dilihat oleh pengundi-pengundi bukan Melayu sebagai "lebih liberal" dan berwajah baru. Penjenamaan semula yang dilakukan itu, bersama sejumlah faktor lain, berjaya mempengaruhi rakyat pelbagai kaum.
DAP yang sebelum ini dilihat sebagai "chauvinis" Cina juga menunjukkan mereka komited untuk membela semua kaum dan berjaya melunakkan hati pengundi Melayu, khususnya di bandar dan pekan kecil, untuk bersama mereka.
Selepas menang di Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang menjadi ketua menteri baru bertekad untuk mengamalkan pemerintahan ala "Umar bin Abdul Aziz", seorang khalifah Islam yang terkenal dengan pemerintahannya yang bersih dan telus.
Guan Eng telah berjaya menggagalkan rancangan jahat pemimpin-pemimpin Umno Pulau Pinang yang mahu membangkitkan sentimen perkauman.
Menjelang 10 tahun gerakan reformasi yang akan genap usianya pada September ini, politik negara semakin berkocak.
Terbaru, Dr Mahathir keluar dari Umno dan menyeru pemimpin dan ahli untuk mengikut jejak langkahnya bagi memberikan tekanan kepada Abdullah untuk meletakkan jawatan. Dr Mahathir yang ditentang oleh gerakan Reformasi kerana pemerintahan kuku besinya masih lagi bebas "mengacau".
Kesilapan terbesar Abdullah ialah beliau tidak membersihkan sisa-sisa orang Mahathir dalam Umno dan pentadbirannya.
"Budak tingkat empat" yang menjadi pemikir kepada Abdullah hanya rakus untuk mengaut kekayaan daripada memberikan strategi politik yang betul kepada Abdullah.
Akibatnya, Abdullah hilang mandat besar yang diperolehinya pada 2004. Sekarang beliau terpaksa "bertarung" dengan pendekar-pendekar di dalam Umno (majoritinya orang Mahathir) yang menyalahkannya kerana BN hilang majoriti dua pertiga di parlimen.
Pakatan Rakyat yang lahir daripada gerakan Reformasi harus bijak mengharungi arus politik negara.
Jika tersilap langkah seperti apa yang dilakukan oleh PAS semasa memerintah Terengganu dan Abdullah Ahmad Badawi yang tidak membersihkan orang-orang Mahathir dalam pemerintahannya, Pakatan Rakyat juga akan menerima nasib yang sama.
Apakah 10 tahun Reformasi yang akan disambut pada September ini akan menyaksikan Pakatan Rakyat mengambil alih negara seperti yang dikatakan oleh Anwar baru-baru ini?
Ataupun Mahathir akan berjaya menaikkan Najib sebagai perdana menteri agar legasinya diteruskan?
Kita tunggu dan lihat. Sejarah telah membuktikan kemenangan sentiasa di tangan orang-orang yang berani dan bijak.

No comments: